Monday 23 May 2016

EVOLUSI DAN ANALISIS TEORI DAN PEMIKIRAN PENGURUSAN KONTEMPORERI


Tugasan Ketiga (SYW 501)
Mohammad Zuhaili Bin Md Yusof

Sejarah Konsep Syura Dalam Pengurusan Islam

Struktur perbincangan dalam penulisan ini dimulakan dengan kaedah dalam mengurus perbincangan dan bermesyuarat dengan konsep syura. Seterusnya, membincangkan konsep syura melalui sejarah syura dalam Islam. Akhir sekali, kesimpulan dibuat.

Sesebuah institusi sudah tentu akan mempunyai aktiviti perbincangan atau bermesyuarat agar sesebuah institusi dalam pelaksanaan arah yang baik. Dalam perbincangan atau bermesyuarat, sudah tentu pelbagai pendapat akan diberikan oleh sesetengah individu. Oleh itu, apakah kaedah yang dianjurkan dalam pengurusan Islam dalam melaksanakan perbincangan atau bermesyuarat dalam menyelesaikan penerimaan pelbagai pendapat dari individu tersebut?

Kaedah syura merupakan kaedah yang dianjurkan dalam pengurusan Islam dalam melaksanakan perbincangan atau bermesyuarat. Apakah konsep syura? Konsep syura merupakan suatu pendekatan yang dipercayai mampu mewujudkan kestabilan, keutuhan dan keharmonian dalam pengurusan Islam (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1997).  

Menurut Ahmad Bashir Aziz (2015), syura memainkan peranan yang penting sebagai tempat membuat keputusan, melahirkan keadilan dan pembangunan yang berasaskan tuntutan agama. Pelaksanaan syura dalam organisasi Islam adalah untuk mendapatkan keputusan yang terbaik di samping melahirkan persefahaman (tafahum), keterbukaan (tasamuh), keseimbangan (ta’awun), keadilan (‘adalah), dan kasih sayang (mahabbah).

Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman:

...dan bermusyawarahlah dengan mereka tentang urusan itu.
(Ali Imran: 159)
Dan firman-Nya lagi:

                 ... dan pada urusan mereka (mereka) bermesyuarat.
(Al- Syura: 38)

Konsep syura bukan sahaja telah diamalkan dalam pengurusan terkini, malah konsep syura telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW lagi. Menurut Ahmad Ibrahim Abu Sin (1997), nabi Muhammad SAW menggesa umatnya agar mengamalkan konsep syura terutamanya urusan yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan dan umat Islam. Semasa zaman Rasulullah SAW, baginda telah menubuhkan kerajaan Islam dengan membentuk sebuah majlis mesyuarat yang dianggotai oleh 14 orang naqib yang terpilih (dipilih dari segi kebijaksanaan dan berpandangan jauh).

Kesan daripada itu, amalan ini telah diteruskan oleh para Khulafah ar-Rasyidin. Sebagai contohnya, Saidina Abu Bakar telah melaksanakan mesyuarat dengan anggota mesyuarat dan ahli fikah apabila beliau menghadapi sesuatu masalah. Beliau telah menjemput Umar al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Zaid bin Sabit dan beberapa tokoh yang lain agar mereka dapat memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Selain itu, Saidina Umar juga mengamalkan konsep syura dalam membuat sesuutu keputusan perkara. Beliau amat mengalukan pendapat atau nasihat daripada orang lain dalam melaksanakan pengurusannya dan juga dalam membuat keputusan yang tertentu. Beliau berpendapat bahawa “pandangan daripada seorang itu laksana seutas benang. Pandangan daripada dua orang pula laksana dua utas benang”. Hal ini bermaksud, pandangan daripada seseorang itu amat baik dan amat berharga kepada kita.

Kesimpulannya, konsep syura merupakan suatu amalan yang sihat dalam sesuatu pengurusan kerana syura ialah sistem yang asli dan dinyatakan dalam al-Quran dan dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW serta para sahabat. Amat sesuai konsep syura diamalkan oleh orang Islam dalam pengurusan sesuatu institusi atau organisasi terkini.


Bibliografi


Ahmad Bashir Aziz. (2015). Pengurusan Islam alternatif pengurusan moden. Kedah, Malaysia: Universiti Utara Malaysia.

Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1997). Pengurusan dalam Islam. Selangor, Malaysia: Dewan bahasa dan pustaka.



Monday 18 April 2016

Pengurusan Institusi: Esei Ke-2

Pandangan Penggunaan Sistem Pengurusan Kontemporari Secara Umum 

Sistem pengurusan terbahagi kepada dua iaitu pengurusan lazim dan pengurusan Islam. Pengurusan lazim ialah pengurusan yang menggunakan pemikiran lazim daripada pelbagai ahli falsafah lazim sejak tahun 1770an sehinggalah ke peringkat teori terkini (Khairul Faizi Ahmad Kamil,t.t). Pengurusan Islam pula ialah operasi yang dilaksanakan dengan berlandandaskan nilai Islam yang sebenar untuk mencapai keredaan Allah SWT (Ahmad Bashir Aziz, 2015).

Sistem pengurusan Islam merupakan sistem pengurusan yang berasaskan tauhid iaitu berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah SWT. Menurut Khairol Azli Mohamad (t.t.), sistem pengurusan Islam lebih sempurna berbanding pengurusan lain kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang merangkumi aspek jasmani, rohani, dan akal. Hal ini amat berbeza dengan sistem pengurusan konvensional yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan mengabaikan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan.

Walau sedemikian, sistem pengurusan Islam masih tidak diyakini untuk menjadi dasar dan amalan dalam sesebuah organisasi di dunia sekarang sama ada organisasi itu adalah kerajaan, pihak swasta, syarikat, persatuan dan sebagainya (Khairol Azli Mohamad, t.t.). Sistem pengurusan apakah yang dipilih dan digunakan pada masa kini? Sistem pengurusan lazim telah dipilih dan digunakan dalam melaksanakan dasar dan amalan bagi negara-negara maju, membangun mahupun mundur. Lebih menyedihkan lagi adalah negara-negara Islam sendiri yang mengunakan sistem pengurusan lazim berbanding sistem pengurusan Islam (Khairol Azli Mohamad, t.t.). Menurut Fadzila Azni Ahmad (2010), dua puluh buah institusi di Malaysia telah dipilih dalam kajian beliau dan mendapati bahawa kesemua institusi yang dikaji menggunakan sistem pengurusan lazim. Sistem pengurusan lazim yang paling dominan pemakaiannya ialah Total Quality Management (Pengurusan Kualiti Menyeluruh).



Kesimpulannya, sistem pengurusan lazim masih lagi digunakan dalam pengurusan negara Islam dan institusi Islam dalam pengurusan terkini. Oleh itu, pihak pengurus muslim perlu memainkan peranan yang penting agar sistem pengurusan Islam digunakan dalam bidang pengurusan.


Rujukan

Ahmad Bashir Aziz. (2015). Pengurusan Islam alternatif pengurusan moden. Sintok, Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1997). Pengurusan dalam Islam. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Khairol Azli Mohamad (t.t.). Sistem pengurusan Islam. Diakses pada 18 April 2016 daripada http://pangurusan-islam.tripod. com/sistem_pengurusan_islam.htm

Monday 14 March 2016

Pengurusan Institusi

Evolusi Teori Sejarah Pengurusan Kepada Teori Pengurusan Kontemporari.

Evolusi teori pengurusan mengalami dua tahap. Tahap pertama adalah evolusi teori sejarah pengurusan. Tahap kedua adalah evolusi teori pengurusan kontemporari.

Evolusi Sejarah Pengurusan

Evolusi sejarah pengurusan bermula pada tahun 1890 yang memperkenalkan teori pengurusan klasik yang berkait rapat dengan Fredrick Winslow Taylor yang mempelopori pengurusan saintifik. Teori pengurusan klasik telah mewujudkan bidang pemikiran yang baru seperti konsep penggunaan carta oleh Henry L. Gantt, pengurusan birokratik oleh Max Weber, dan teori pengurusan pentadbiran oleh Henry Fayol, Chester I. Barnard, dan Mary Parker Follet.

Selepas teori pengurusan klasik, wujud teori pengurusan birokrasi. Teori pengurusan birokrasi diperkenalkan oleh Max Weber pada tahun 1930. Walau bagaimanapun, teori tersebut masih diguna pakai sehingga kini.

Selepas itu, wujud teori hubungan manusia yang diperkenalkan pada tahun 1930 dan teori tersebut diguna pakai sehingga kini. Teori hubungan manusia mempunyai dua jenis iaitu teori hubungan manusia klasik dan teori hubungan manusia moden. Teori hubungan manusia klasik dipelopori oleh Mary Parker Follet, Elton Mayo, Chester I. Barnard, Elton Mayo, dan Oliver Sheldon. Teori hubungan manusia moden ialah Abraham Maslow, Douglas McGregor, Frederick I. Herzberg, Chryis Argyis, Edgar H. Schein, Victor H. Vroom, Maslow, McGregor dan Herzberg.

Evolusi Pengurusan Kontemporari

Dalam teori pengurusan kontemporari, terdapat tiga teori yang wujud daripada teori sejarah pengurusan. Teori tersebut adalah teori sistem, teori kontigensi dan teori pengurusan kualiti menyeluruh (TQM). Tiga teori tersebut dihasilkan daripada teori hubungan manusia dan tiga teori tersebut merupakan teori yang paling berpengaruh dalam organisasi.

Teori pertama ialah teori sistem. Teori sistem diperkenalkan pada tahun 1952 oleh David Easton. Teori sistem melibatkan perilaku bahagian pengurusan, penyelarasan pentadbiran, pengurusan dengan program organisasi dan pengurus dengan pekerja.

Teori kedua ialah teori kontigensi yang diperkenalkan pada tahun 1960 oleh Fred Fieler. Teori kontigensi menerangkan tentang pengurusan antara pemimpin dengan pekerja. Teori kontigensi  juga melibatkan penerajuan dalam institusi dan organisasi yang menerapkan sikap kepimpinan sebagai ketua. Dalam pada masa yang sama, teori ini juga melibatkan pemimpin dengan ahli-ahli dalam sesuatu organisasi.

Teori ketiga ialah teori TQM. Teori TQM telah diperkenalkan pada tahun 1974 oleh W. Edward Deming. Teori TQM masih diguna pakai dalam institusi dan organisasi. Teori TQM meliputi elemen-elemen seperti pengurusan strategi dan kualiti, sistem kualiti menyeluruh, kualiti pengurusan, teknologi kejuruteraan dan kualiti, teknologi statistik dan aplikasi kualiti menyeluruh dalam organisasi.

Kesimpulannya, evolusi teori hubungan manusia dalam teori sejarah pengurusan telah mewujudkan teori pengurusan kontemporari seperti teori sistem, teori kontigensi dan teori TQM yang masih diguna pakai sehingga kini oleh institusi.

Rujukan

Daft, R.L. (2010). Management. 9th Edition. Thompson South-Western, Amerika Syarikat.

Syaharizatul Noorizwan Muktar. (2007). Sentuhan kemanusiaan dalam budaya kualiti ke arah motivasi untuk bekerja di UTM. Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia.

http://managementhelp.org/management/theories.htm