Monday 23 May 2016

EVOLUSI DAN ANALISIS TEORI DAN PEMIKIRAN PENGURUSAN KONTEMPORERI


Tugasan Ketiga (SYW 501)
Mohammad Zuhaili Bin Md Yusof

Sejarah Konsep Syura Dalam Pengurusan Islam

Struktur perbincangan dalam penulisan ini dimulakan dengan kaedah dalam mengurus perbincangan dan bermesyuarat dengan konsep syura. Seterusnya, membincangkan konsep syura melalui sejarah syura dalam Islam. Akhir sekali, kesimpulan dibuat.

Sesebuah institusi sudah tentu akan mempunyai aktiviti perbincangan atau bermesyuarat agar sesebuah institusi dalam pelaksanaan arah yang baik. Dalam perbincangan atau bermesyuarat, sudah tentu pelbagai pendapat akan diberikan oleh sesetengah individu. Oleh itu, apakah kaedah yang dianjurkan dalam pengurusan Islam dalam melaksanakan perbincangan atau bermesyuarat dalam menyelesaikan penerimaan pelbagai pendapat dari individu tersebut?

Kaedah syura merupakan kaedah yang dianjurkan dalam pengurusan Islam dalam melaksanakan perbincangan atau bermesyuarat. Apakah konsep syura? Konsep syura merupakan suatu pendekatan yang dipercayai mampu mewujudkan kestabilan, keutuhan dan keharmonian dalam pengurusan Islam (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1997).  

Menurut Ahmad Bashir Aziz (2015), syura memainkan peranan yang penting sebagai tempat membuat keputusan, melahirkan keadilan dan pembangunan yang berasaskan tuntutan agama. Pelaksanaan syura dalam organisasi Islam adalah untuk mendapatkan keputusan yang terbaik di samping melahirkan persefahaman (tafahum), keterbukaan (tasamuh), keseimbangan (ta’awun), keadilan (‘adalah), dan kasih sayang (mahabbah).

Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman:

...dan bermusyawarahlah dengan mereka tentang urusan itu.
(Ali Imran: 159)
Dan firman-Nya lagi:

                 ... dan pada urusan mereka (mereka) bermesyuarat.
(Al- Syura: 38)

Konsep syura bukan sahaja telah diamalkan dalam pengurusan terkini, malah konsep syura telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW lagi. Menurut Ahmad Ibrahim Abu Sin (1997), nabi Muhammad SAW menggesa umatnya agar mengamalkan konsep syura terutamanya urusan yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan dan umat Islam. Semasa zaman Rasulullah SAW, baginda telah menubuhkan kerajaan Islam dengan membentuk sebuah majlis mesyuarat yang dianggotai oleh 14 orang naqib yang terpilih (dipilih dari segi kebijaksanaan dan berpandangan jauh).

Kesan daripada itu, amalan ini telah diteruskan oleh para Khulafah ar-Rasyidin. Sebagai contohnya, Saidina Abu Bakar telah melaksanakan mesyuarat dengan anggota mesyuarat dan ahli fikah apabila beliau menghadapi sesuatu masalah. Beliau telah menjemput Umar al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Zaid bin Sabit dan beberapa tokoh yang lain agar mereka dapat memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Selain itu, Saidina Umar juga mengamalkan konsep syura dalam membuat sesuutu keputusan perkara. Beliau amat mengalukan pendapat atau nasihat daripada orang lain dalam melaksanakan pengurusannya dan juga dalam membuat keputusan yang tertentu. Beliau berpendapat bahawa “pandangan daripada seorang itu laksana seutas benang. Pandangan daripada dua orang pula laksana dua utas benang”. Hal ini bermaksud, pandangan daripada seseorang itu amat baik dan amat berharga kepada kita.

Kesimpulannya, konsep syura merupakan suatu amalan yang sihat dalam sesuatu pengurusan kerana syura ialah sistem yang asli dan dinyatakan dalam al-Quran dan dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW serta para sahabat. Amat sesuai konsep syura diamalkan oleh orang Islam dalam pengurusan sesuatu institusi atau organisasi terkini.


Bibliografi


Ahmad Bashir Aziz. (2015). Pengurusan Islam alternatif pengurusan moden. Kedah, Malaysia: Universiti Utara Malaysia.

Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1997). Pengurusan dalam Islam. Selangor, Malaysia: Dewan bahasa dan pustaka.