Monday 18 April 2016

Pengurusan Institusi: Esei Ke-2

Pandangan Penggunaan Sistem Pengurusan Kontemporari Secara Umum 

Sistem pengurusan terbahagi kepada dua iaitu pengurusan lazim dan pengurusan Islam. Pengurusan lazim ialah pengurusan yang menggunakan pemikiran lazim daripada pelbagai ahli falsafah lazim sejak tahun 1770an sehinggalah ke peringkat teori terkini (Khairul Faizi Ahmad Kamil,t.t). Pengurusan Islam pula ialah operasi yang dilaksanakan dengan berlandandaskan nilai Islam yang sebenar untuk mencapai keredaan Allah SWT (Ahmad Bashir Aziz, 2015).

Sistem pengurusan Islam merupakan sistem pengurusan yang berasaskan tauhid iaitu berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah SWT. Menurut Khairol Azli Mohamad (t.t.), sistem pengurusan Islam lebih sempurna berbanding pengurusan lain kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang merangkumi aspek jasmani, rohani, dan akal. Hal ini amat berbeza dengan sistem pengurusan konvensional yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan mengabaikan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan.

Walau sedemikian, sistem pengurusan Islam masih tidak diyakini untuk menjadi dasar dan amalan dalam sesebuah organisasi di dunia sekarang sama ada organisasi itu adalah kerajaan, pihak swasta, syarikat, persatuan dan sebagainya (Khairol Azli Mohamad, t.t.). Sistem pengurusan apakah yang dipilih dan digunakan pada masa kini? Sistem pengurusan lazim telah dipilih dan digunakan dalam melaksanakan dasar dan amalan bagi negara-negara maju, membangun mahupun mundur. Lebih menyedihkan lagi adalah negara-negara Islam sendiri yang mengunakan sistem pengurusan lazim berbanding sistem pengurusan Islam (Khairol Azli Mohamad, t.t.). Menurut Fadzila Azni Ahmad (2010), dua puluh buah institusi di Malaysia telah dipilih dalam kajian beliau dan mendapati bahawa kesemua institusi yang dikaji menggunakan sistem pengurusan lazim. Sistem pengurusan lazim yang paling dominan pemakaiannya ialah Total Quality Management (Pengurusan Kualiti Menyeluruh).



Kesimpulannya, sistem pengurusan lazim masih lagi digunakan dalam pengurusan negara Islam dan institusi Islam dalam pengurusan terkini. Oleh itu, pihak pengurus muslim perlu memainkan peranan yang penting agar sistem pengurusan Islam digunakan dalam bidang pengurusan.


Rujukan

Ahmad Bashir Aziz. (2015). Pengurusan Islam alternatif pengurusan moden. Sintok, Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1997). Pengurusan dalam Islam. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Khairol Azli Mohamad (t.t.). Sistem pengurusan Islam. Diakses pada 18 April 2016 daripada http://pangurusan-islam.tripod. com/sistem_pengurusan_islam.htm

No comments:

Post a Comment